Monolog Dari Aku....

Kita kongsi warna mata tapi tidak warna hati........ Biarkan apa yg tercatat disini menjadi kenangan saat pemergianku...

Memoir Seorang Guru

Memoir Seorang Guru mengisahkan seorang ustaz yang cukup berkeras melarang anak gadisnya bernama Kamariah menceburi bidang perguruan kerana baginya bidang tersebut tidak mendatangkan keberkatan dan jauh sekali untuk mencapai tahap kemurabbian. Ini semua adalah disebabkan beliau tidak mahu anaknya mengikuti apa yang telah dilaluinya sepanjang mencurahkan ilmu kepada anak-anak bangsa.
Novel ini disusun dengan begitu baik sekali sehingga pembaca tidak terkeliru dengan latar masa yang dipersembahkan. Penulis menggunakan teknik imbasan yang begitu berkesan dalam menceritakan pengalaman ustaz mendidik setiap watak anak muridnya yang berbeza. Bermula dengan kisah Mat yang tercucuk selumbar kayu sehingga ditembak mati oleh ayahnya sendiri akibat tidak mahu Mat tersiksa menanggung kesakitan. Permulaan kisah ini diibaratkan oleh ustaz sebagai masyarakat yang tidak celik dan mundur sehingga beliau tidak ingin bertanggungjawab dalam masyarakat sebegini.
Kemudian pembaca dibawa menghayati kebencian ustaz kepada anak-anak muridnya yang mempunyai pelbagai ragam dan kisah yang mengundang simpati seperti kisah Sakinah yang bermata juling, kisah Mihad yang suka menangkap katak untuk dijadikan umpan haruan, kisah Alias yang tercedera telinganya akibat ditampar oleh ustaz serta kisah Mohd.Dhuha yang rajin mengerjakan solat sunat Dhuha dan meninggal akibat ditabrak kereta.
Penceritaan novel ini berakhir apabila ustaz yang sedang dalam perjalanan ke Johor untuk menemui Kamariah yang lari dengan menumpang di rumah pak cik selepas tiadanya kata putus daripadanya. Klimaksnya apabila ustaz menghadapi kemalangan dalam perjalanan tersebut. Sama ada ustaz masih hidup atau tidak, pembaca harus mendapatkan buku ini untuk mengetahui epilognya.
Sesungguhnya, novel ini cukup berkesan dalam menyampaikan peranan seorang guru melahirkan insan yang berguna. Ketika membaca novel ini, mengingatkan saya kepada para guru ketika bersekolah dahulu. Tanpa mereka, tidak mungkin saya dapat berdiri di mana berada sekarang. Semoga semua guru yang pernah mengajar dan mendidik saya mencapai tahap kemurabbian dalam hidup mereka.
Tajuk : Memoir Seorang Guru
Penulis : Azizi Hj. Abdullah
Penerbit : Alaf 21 Sdn. Bhd

0 komen....:

Post a Comment

Powered By Blogger

Blog Archive

Teman blog